Monday, January 3, 2011

ARTIKEL 1

BAH MELAYU DALAM ERA TEKNOLOGI MAKLUMAT

Sejarah telah membuktikan Bahasa Melayu telah menjadi bahasa lingua franca (bahasa perantaraan) bagi daerah-daerah kepulauan Melayu sejak zaman-berzaman. Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa perhubungan antara orang-orang yang tinggal di kepulauan Melayu dan orang-orang mendatang seperti pedagang-pedagang dan pengembara-pengembara dari Eropah, Asia Tengah, Cina dan India.

Pada amnya proses evolusi Bahasa Melayu berkembang dan maju selaras dengan taraf perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat bahasanya melalui peperangan, perkahwinan, perdagangan, pentadbiran, persuratan, keilmuan dan kebudayaan. Sejarah juga telah menunjukkan bahawa bahasa Melayu telah berkembang dari status bahasa Melayu Purba menjadi bahasa Melayu Kuno dan seterusnya ke bahasa Melayu Moden setelah melalui beberapa penyerapan dan penyebatian daripada bahasa-bahasa Sanskrit, Arab, Cina, Belanda, Portugis dan Inggeris. Dalam perkembangan era globalisasi dunia hari ini yang telah dipercepatkan oleh perkembangan tekonologi maklumat dan komunikasi (ICT), meneruskan proses evolusi bahasa Melayu ke peringkat maya yang akan memberi cabaran-cabaran baru kepada masyarakat bahasanya termasuk di negara ini untuk bersaing dengan bahasa-bahasa utama dunia yang lain.

Sehubungan itu, karangan prosa ini akan membincangkan aspek-aspek umum yang menjadi isu dan cabaran asas kepada pengembangan penggunaan bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Pengupasan dan penghuraian yang dibuat oleh penulis merupakan satu bentuk pandangan dan tinjauan secara umum kepada masyarakat yang berbahasa Melayu (masyarakat bahasa Melayu) tanpa melalui kajian empirikal yang memungkinkan berlakunya bais kepada kenyataan-kenyataan yang dikemukakan kepada pembaca.

Bahasa Melayu Dalam Era Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT)

Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah diasaskan oleh perkembangan dan kemajuan yang pesat dalam bidang mikroelektronik sehingga menghasilkan pelbagai kemudahan teknologi maklumat seperti komputer peribadi, telekomunikasi multimedia dan sebagainya. Seterusnya kemunculan internet telah meluaskan penggunaan ICT dengan jaringan informasi bersepadu sehingga membolehkan diaplikasikan sebagai media komunikasi yang melibatkan teks, bunyi, grafik dan video. Fenomena ini secara langsung mempengaruhi dan mencabar kewibawaan dan kedudukan bahasa Melayu di rantau Nusantara ini.

Penekanan terhadap ICT di era globalisasi dan liberalisasi bermakna penggunaan bahasa Inggeris menjadi semakin penting dan tidak dapat dielakkan oleh masyarakat dunia. Era ICT telah menunjukkan bahasa Inggeris mengiringi kelahiran pertama Internet dunia di Amerika Syarikat dan seterusnya diikuti dengan pengeluar perisian dan perkakasan komputer seperti Microsoft, Dell dan Hewlett-Packard yang semuanya diasaskan oleh mereka yang berbahasa Inggeris. Perubahan persekitaran ini menimbulkan persoalan sama ada mampukan bahasa Melayu digunakan di dalam era ICT sebagai bahasa perantaraan alternatif untuk dimanfaatkan oleh masyarakat bahasanya? Mampukah pengiat-pengiat bahasa Melayu menggunakan ICT sebagai alat penyelidikan, perkakasan, perisian dan aplikasi untuk pembangunan bahasa Melayu?

Sebagai satu pandangan umum, masyarakt bahasa Melayu perlu memperlihatkan sikap terbuka dan kesediaan untuk menghadapi cabaran perkembangan yang pesat dalam ICT dengan pengaruh bahasa asing khususnya bahasa Inggeris. Perlu diakui bahawa bahasa Melayu masih lagi ‘muda’ dari sudut peristilahan sains dan teknologi berbanding dengan bahasa Inggeris. Usaha supaya bahasa Melayu diterima dalam era siber hanya akan terlaksana jika masyarakat bahasanya mempelajari pengalaman dan kejayaan yang telah dicapai oleh bahasa Inggeris.

Isu dan Cabaran Penggunaan Bahasa Melayu Di Era ICT

Penggunaan bahasa Melayu di dalam era ICT yang pastinya akan melalui pelbagai isu dan cabaran yang perlu diberi perhatian dan penelitian untuk kepentingan masyarakat bahasanya. Umumnya, antara isu dan cabaran adalah seperti berikut :

Pertama : Kewujudan Bahasa Melayu Dalam Konteks K-Ekonomi

Perkembangan yang pesat dalam ICT telah membawa perubahan-perubahan yang pantas dalam mencorakkan bentuk perniagaan, struktur masyarakat dan persaingan yang sengit dalam pasaran antarabangsa. Perubahan-perubahan yang pantas ini telah mewujudkan ekonomi baru dunia yang dikenali sebagai K-ekonomi atau pun ekonomi berasaskan pengetahuan. Di dalam konteks ini, pengetahuan merupakan nadi kepada segala bentuk perlakuan dan pemikiran manusia dalam bidang ekonomi. Kewujudan bahasa merupakan kepentingan dalam aspek pengetahuan kerana ia sumber penting dalam berkomunikasi. Sehubungan dengan itu, seharusnya ICT menjadi saluran penggunaan bahasa Melayu untuk kesinambungan status sejarahnya sebagai bahasa lingua franca dalam cabaran ICT. Bahasa Melayu perlu cukup kukuh dan mantap untuk membolehkan ianya berupaya memperkatakan apa sahaja bidang yang wujud dalam kehidupan dan seiringan dengan bahasa-bahasa moden lain seperti bahasa Inggeris, Sepanyol, Mandarin, Perancis, Arab dan Jepun.

Kedua : Dominasi Bahasa Utama Dunia Di Peringkat Maya

Perkembangan ICT merupakan saluran kepada ‘penjajahan’ bahasa di peringkat maya oleh bahasa yang mendominasi penggunaannya di peringkat antarabangsa seperti bahasa Inggeris. Sejarah telah membuktikan bahasa Melayu telah berjaya menempuh beberapa zaman yang mencabar kewibawaannya dalam persaingan penggunaan bahasanya dengan bahasa-bahasa yang lain. Umpamanya, kesan dari penjajahan negara-negara Barat di rantau kepulauan Melayu oleh Protugis, British, Belanda dan Sepanyol telah memberi kesan yang mendalam kepada perkembangan penggunaan bahasa Melayu di kalangan masyarakat bahasanya kerana perluasan penggunaan bahasa kedua dalam kehidupan seharian mereka. Namun di atas kekuatan semangat nasionalisme dan kesedaran kemerdekaaan di kalangan masyarakat bahasanya membolehkan bahasa Melayu terus dipertahankan dan mengekalkan martabatnya di arena antarabangsa. Bahasa Melayu juga telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan seperti di negara Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Malah di beberapa daerah di Thailand Selatan dan Filipina Selatan masih terdapat masyarakat yang menggunakan bahasa Melayu. Walaupun kata-katanya diungkapkan dalam bunyi, tatabahasa, nahu dan ungkapan yang berbeza serta dibatasi oleh sempadan antarabangsa tetapi ia tetap dan masih dikatakan bahasa Melayu kerana asal-usulnya ialah dari bangsa Melayu yang serumpun.

Ketiga : Kemampuan Menjana Idea Baru, Kreativiti Dan Inovasi Dalam Memantapkan Penggunaan Bahasa Melayu

Masyarakat bahasa Melayu perlu menerima hakikat perkembangan ICT adalah berhubung kait secara langsung dengan kemampuan menjana idea baru, kreativiti dan inovasi dalam memantapkan penggunaan bahasa Melayu. Ketrampilan bahasa Melayu di era siber adalah bergantung kepada sejauhmana masyarakat bahasanya mampu menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan persekitarannya. Masyarakat bahasa Melayu perlu menukar mindset kepada penggunaan bahasa Melayu yang didorongi oleh pengetahuan supaya memperolehi manfaat daripada penggunaan ICT ekoran daripada hasil perkembangan global. Sehubungan itu, strategi perlu dirancang dengan teratur untuk memantapkan kekuatan dalaman bahasanya yang telah terbina sekian lama. Pengalaman lalu membuktikan keupayaan masyarakat berbahasa Melayu yang didokongi oleh bangsa Melayu telah dapat mempertahankan dan mendaulatkan bahasa Melayu dengan cekap dan berkesan di arena antarabangsa terutama di rantau Nusantara ini. Namun, pengalaman masa lepas belum pasti menjamin kejayaan masa depan. Senario abad ke 21 jauh lebih mencabar dan penuh ketidaktentuan serta amat berbeza dengan perubahan yang dialami sebelumnya. Ini ditambahi lagi perkembangan pesat ICT dan penggunaanya di dalam masyarakat dunia.

Keempat : Persepsi Kedudukan Bahasa Melayu Terhadap Penguasaan Bahasa Inggeris

Penekanan terhadap K-ekonomi yang dipercepatkan dengan kepesatan perkembangan ICT telah menjadikan penggunaan bahasa Inggeris semakin unggul sebagai bahasa pengantar masyarakat dunia selaras dengan pengiktirafan yang diberikan kepadanya sebelum ini sebagai bahasa antarabangsa. Perkembangan bahasa Inggeris ini telah menimbulkan reaksi yang berbeza-beza di kalangan pemimpin-pemimpin, cendiakawan-cendiakawan, budayawan-budayawan dan sasterawan-sasterawan di seluruh dunia berkaitan dengan kesannya terhadap kedudukan bahasa-bahasa lain yang melambangkan identiti sesuatu kaum atau bangsa.

Peluasan dan penguasaan bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa tidak dapat dielakkan. Masyarakat dunia secara langsung telah dipengaruhi oleh peluasan bahasa Inggeris sebagai persediaan untuk menghadapi K-ekonomi. Peluasan bahasa Inggeris ini didorongi oleh keperluan memperolehi maklumat dan pembelajaran di peringkat maya melalui kemajuan ICT. Fenomena ini tidak bermaksud untuk menidakkan kepentingan bahasa Melayu tetapi meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa alat berkomunikasi dalam teknologi maklumat, internet dan dagangan antarabangsa. Manakala, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan jati diri masyarakat bahasanya. Namun tidak mustahil dengan usaha-usaha yang bersungguh-sungguh dari semua pihak akan menjadikan bahasa Melayu mempunyai peranan yang besar dalam penggunaannya di dalam ICT. Sehubungan dengan itu, penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris oleh masyarakat bahasanya mempunyai peranan yang berbeza dan tidak seharusnya menimbulkan konflik jika masyarakat bahasanya jelas tentang peranan penguasaan dan penggunaan kedua-dua bahasa tersebut.

Kelima : Memperkayakan Bahasa Melayu Bahasa Melayu bersifat keterbukaan dan berkembang dari semasa ke semasa. Sejak dalam penjajahan Portugis, Inggeris dan Belanda, bahasa Melayu telah berkembang menyeresapi istilah-istilah asing dan lantas memperkayakan bahasa Melayu. Istilah-istilah seperti lampu, almari, bendera, buku, bola dan meja merupakan contoh-contoh istilah terbitan daripada bahasa-bahasa asing. Malah, sebelum penjajahan, bahasa Melayu juga telah meminjam dari bahasa-bahasa Sanskrit dan Arab seperti istilah sastera, bulan, akhirat dan zahir.

Pengembangan bahasa Melayu akan lebih ketara apabila kita memasuki zaman baru seperti di era ICT. Seringkali ada istilah-istilah baru asing yang diterbitkan dan diperkenalkan. Justeru itu, untuk bersaing dengan bahasa-bahasa utama, bahasa Melayu harus berkembang dalam menerbitkan istilah-istilah baru bagi menterjemaah istilah-istilah baru yang asing. Istilah-istilah baru seperti tetikus, perisian, perkakasan, siber, laman, jaringan, internet dan batang bedek telah berjaya diterbitkan dan digunapakai. Walaupun begitu, keterbukaan sifat bahasa Melayu seharusnya sentiasa dipantau perkembangannya dengan ketat agar tiada penyelewengan dalam memelayukan istilah-istilah asing.

Keenam : Memasyarakatkan Bahasa Melayu Melalui Ruang Siber

Bahasa Melayu sebagai identiti buat masyarakat di beberapa negara di rantau Asia Tenggara. Bangsa Melayu di Singapura mempunyai ‘Bahasa Melayu Singapura’ dan bangsa Melayu di Indonesia mempunyai ‘Bahasa Indonesia’, dan Malaysia berbangga dengan ‘Bahasa Malaysia’. Keberkesanan untuk melaksanakan penggunaan bahasa Melayu di dalam era ICT terletak di bahu masyarakat bahasanya. Inilah masanya untuk masyarakat bahasa Melayu menempa nama di persada antarabangsa dengan menggunakan dunia siber yang menghubungkan di seluruh pelusuk dunia.

Dalam merelisasikan penggunaan bahasa Melayu di peringkat maya bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah dan remeh temeh. Banyak kegiatan ilmiah dan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan agar perkembangan penggunaan bahasa Melayu dianggap ‘hidup’ dan ‘tidak mati’ oleh masyarakat dunia. Kegiatan-kegiatan yang telah dan akan dilaksanakan dengan kemudahan ICT seharusnya mempunyai matlamat yang sejajar dengan arus pemodenan dan persejagatan masyarakat dunia agar ia dapat memaparkan bahawa semua kegiatan yang diadakan adalah benar-benar menggunakan dan menjiwai sepenuhnya bahasa Melayu. Usaha orang perseorangan dan syarikat-syarikat masyarakat Melayu dalam men’dotcom’kan bahasa Melayu ke dalam alam internet perlu diteruskan dan diberikan sokongan sewajarnya oleh masyarakat bahasanya. Membawa bahasa Melayu dalam konteks masyarakat Melayu di peringkat maya adalah satu usaha yang perlu dilakukan dengan tekad dan azam yang kuat. Dengan men’dotcom’kan bahasa Melayu di dalam gerbang internet akan menyediakan ruang untuk pelunsur menggunakan bahasa Melayu di internet dan seterusnya meningkatkan imej bahasa Melayu seiringan dengan bahasa-bahasa seperti bahasa Inggeris, Peranchis, Jepun dan Cina. Ia suatu nilai yang penting untuk menangkis segala tanggapan bahawa bahasa Melayu tidak mampu bersaing atau tiada tempat di persada dunia.

Ketujuh : Pesejagatan Dasar Bahasa Melayu Di Peringkat Maya

Masyarakat di beberapa negara yang masih mendaulatkan bahasa Melayu sekarang ini sedang mempelajari bahasa kedua ataupun bahasa ketiga adalah kerana keperluan ICT dagangan. Namun penguasaan bahasa asing ini tidak seharusnya melunturkan kepentingan bahasa Melayu itu sendiri. Masyarakat bahasa Melayu mesti mengguna, mengukuh dan memperluaskan bahasa Melayu di peringkat maya untuk tujuan kenegaraan dan membezakan jati diri masyarakat bahasa Melayu dengan masyarakat-masyarakat bahasa yang lain. Bahasa asing yang diketahui hanya digunakan sebaiknya apabila berdagang dan berkomunikasi dengan masyarakat bahasa lain.

Bagi mencapai hasrat tersebut, peranan dan tanggungjawab negara-negara yang masyarakatnya masih berbahasa Melayu adalah membina empayar dan mengembangkan sastera, budaya dan penerbitan dalam bahasa Melayu di peringkat maya. Persefahaman dan kerjasama dalam perkembangan di peringkat maya ini perlu menggunakan teknologi terkini seperti ICT untuk dimanupulasikan sebagai alat penyelidikan, perkakasan, perisian dan aplikasi dalam memperkembangkan bahasa Melayu. Munsyi Abdullah telah membuktikan bagaimana perkembangan bahasa Melayu dapat dilaksanakan dengan tindakan proaktif beliau terhadap penggunaan teknologi percetakan pada zamannya. Oleh itu, dasar persejagatan bahasa Melayu di peringkat maya juga dapat direalisasikan dalam era ICT dengan mengaplikasikan semangat nasionalisme, pengetahuan dan teknologi terkini.

Kelapan : Perubahan Sistem Pendidikan

Institusi pendidikan adalah medium penting untuk mengukuhkan lagi nilai dan keperluan bahasa Melayu di kalangan golongan generasi muda bangsa Melayu melalui sistem pendidikan yang mengambilkira penyerapan dan penyebatian kemajuan dan perkembangan ICT. Misalnya, generasi muda akan mempunyai peluang untuk menghalusi bahasa Melayu ke dalam jiwa mereka melalui kegiatan dan aktiviti bercorak bahasa Melayu dengan menggunakan teknologi maya yang diasaskan oleh kemudahan internet. Melihat kepada dominasi bahasa Inggeris di internet adalah disedari bahasa ini merupakan pencetus teknologi dan ilmu pengetahuan pelbagai bidang yang diinginkan oleh masyarakat dunia. Dalam hal ini, masyarakat bahasa Melayu mestilah tegas menentukan kedudukan bahasa Melayu dan peranan bahasa yang diperlajari dalam sistem pendidikan mereka. Jika bahasa asing yang diperlajari memerlukan makmal dan program khusus dalam menguasainya maka tidak perlu diketepikan juga kepentingan penyediaan prasarana dan program sedemikan kepada bahasa Melayu dalam sistem pendidikan.

Di peringkat dunia, penutur bahasa Melayu adalah seramai lebih 250 juta orang. Ini meletakkan kedudukan status bahasa Melayu ditempat keempat teramai penuturnya selepas bahasa Mandarin, Sepanyol dan Inggeris. Jadi tidaklah mustahil bahasa Melayu boleh menjadi bahasa komunikasi dan dipelajari di seluruh dunia melalui teknologi maya jika masyarakat bahasanya mengambil kesempatan dari pembentukan dunia sejagat tanpa sempadan dan sekatan yang menjadi fenomena sekarang ini.

Kesembilan : Evolusi Bahasa Melayu Dalam Perkembangan ICT

Proses evolusi bahasa Melayu turut berlaku dalam perkembangan era ICT. Penggunaan bahasa Melayu di internet semakin meluas di mana semakin ramai pengguna-pengguna bahasa Melayu mengeksploitasi kemudahan unsur komunikasi tersebut. Ini dibukitkan dengan terdapatnya banyak laman-laman dan penggelungsur berbahasa Melayu di internet yang dibentuk dari negara-negara seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura. Perkembangan ini juga diiringi dengan penyediaan kemudahan e-mail dan chat yang secara tidak langsung membantu melestarikan bahasa Melayu. Penerimaan pakai internet ini telah membawa proses evolusi bahasa Melayu ke peringkat maya.

Sebagai contoh kesan dari penggunaan ruang siber yang serba mudah dan serba luas telah menghasilkan istilah-istilah baru yang boleh digelarkan sebagai ‘bahasa Melayu Internet’. Misalnya, perkataan-perkataan seperti kang (nanti), a’kum (assalamualaikum), w’lam (wa’alaikumsalam), dowang (mereka), tipon (telefon) dan persal (mengapa). Pengubahsuaian juga telah dibuat kepada kata gantinama seperti sayer (saya), dier (dia) dan nko (engkau). Begitu juga dengan kata tanya telah diubah suai seperti biler (bila), camner (bagaimana) dan maner (mana).

Pada pragmatiknya, situasi ini merupakan satu percubaan yang menarik dalam evolusi bahasa Melayu. Namun demikian manupulasi bahasa seumpama ini jika tidak dibendung mampu memudaratkan pengguna dan nilai bahasa itu sendiri. Amalan seperti ini akan menghasilkan ayat-ayat yang tidak gramatik kerana menyeleweng daripada hukum-hukum tatabahasa. Timbul juga perkembangan pemelatan kata-kata, kata-kata bersifat irama, istilah spesifik dan penggunaan simbol-simbol dengan tujuan untuk memeriahkan suasana perbualan, kemesraan dan peringkasan teks dalam berkomunikasi di peringkat maya.

Walau bagaimanapun perkembangan seperti ini perlu dilihat sebagai satu percaturan yang menarik dan sihat yang perlu dimantau supaya tidak berlaku penyelewengan bahasa dari alam maya ke alam realiti. Pengguna-pengguna internet seharusnya mewujudkan persefahaman untuk memastikan bahasa Melayu tetap terpelihara. Sebagai langkah awal, bahasa Melayu internet sebaiknya disimpan sahaja di dalam internet agar kemurnian dan kedinamikan bahasa Melayu lebih terserlah dan kekal relevan serta biarlah ia berkembang mengikut tapak penggunaannya.

Kesimpulan

Masyarakat bahasa Melayu tidak boleh mempertahankan bahasa Melayu hanya dengan menguasai bahasa itu. Di samping strategik yang teratur, masyarakat bahasa Melayu perlu menguasai bahasa-bahasa lain dan tahu cara menyebarkan maklumat di dalam era ICT. Dengan mempelajari usaha-usaha dari tokoh-tokoh bidang ICT seperti Bill Gate dan laman-laman perintis seperti Yahoo, Hotmail dan MSN adalah perlu usahawan-usahawan dari masyarakat bahasa Melayu memasuki peringkat ICT bukan sahaja persaingan di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei malah di peringkat global.

Perkembangan globalisasi dan liberasasi hendaklah dilihat sebagai satu peluang masyarakat berbahasa Melayu untuk memastikan bahasa Melayu terus kekal disanjung oleh bangsa Melayu serta masyarakat bukan Melayu dengan memanupulasikan ICT sepenuhnya. Oleh itu, segenap sudut dan ruang yang sempit perlu dilebarkan agar bahasa Melayu mempunyai nilai yang simbolik dan tidak luput dek hujan, tidak lekang dek panas. Masyarakat berbahasa Melayu perlu mencari jalan dalam menambah nilai bahasa di pasaran dunia. Ini merupakan satu tugas berat bagi pengiat bahasa dan masyarakat Melayu khususnya untuk terus berusaha mencari jalan, kaedah serta hipotesis meningkatkan nilai bahasa Melayu di persada era ICT. Bagaimanapun, nilai bahasa Melayu tidak boleh dijual beli dalam pasaran yang bersifat sejagat. Nilai dan harga bahasa Melayu bergantung sejauh mana masyarakat Melayu di Nusantara membuat ‘pelaburan’ sewajarnya di pasaran dunia globalisasi yang sedang mengagungkan bahasa Inggeris sebagai ‘pelabur’ utama.

Bahasa Melayu di dalam era ICT perlu dilihat sebagi satu keperluan dan bekalan yang penting dalam masyarakat bahasanya untuk menghasilkan satu identiti bangsa yang tulen dan sejati. Pada masa yang sama, biarlah bahasa Melayu dapat memupuk jati diri masyarakat bahasanya lebih-lebih lagi dalam arus pemodenan dan penyejagatan dunia. Jangan biarkan bahasa Melayu menyerantau di raung siber tanpa dipedulikan oleh masyarakat bahasanya sendiri dan akhirnya pupus di mata dunia.

Artikel Nor Shah Mohamed ini telah memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Menulis Esei sempena Sambutan Bulan Bahasa dan Sastera JPA Tahun 2001.

ARTIKEL 2

BAHASA MELAYU DALAM TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (TMK)

Apakah yang anda faham tentang istilah teknologi? Teknologi merupakan satu konsep yang luas dan mempunyai lebih daripada satu takrifan. Takrifan yang pertama ialah pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk menyelesaikan masalah manusia. Istilah teknologi selalunya berkait rapat dengan rekaan dan aksesori menggunakan prinsip sains dan proses terkini. Namun, rekaan lama seperti tayar masih menunjukkan teknologi. Maksud yang kedua digunakan dalam bidang ekonomi, yakni teknologi dilihat sebagai tahap pengetahuan semasa dalam menggabungkan sumber bagi menghasilkan produk yang dikehendaki. Oleh itu, teknologi akan berubah apabila pengetahuan teknikal kita berubah (Wikipedia, 2007).

Apakah hubungan teknologi dengan maklumat dan komunikasi? Teknologi Maklumat (Information Technology) atau IT dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communication Technology) atau ICT merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. Ruang lingkup tajuknya sangat luas, iaitu berkenaan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudah dapat dikatakan sebagai penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu (Wikipedia, 2007). Teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) wujud berdasarkan perkembangan dan kemajuan pesat dalam bidang mikroelektronik yang menghasilkan kemudahan teknologi seperti komputer meja dan komputer riba, jaringan internet, e-mel, laman sesawang dan sebagainya. Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang digunakan dalam teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) pada peringkat antarabangsa. Namun demikian, Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu juga mampu menggalas tanggungjawab penting untuk menyebarkan ilmu dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) kepada masyarakat di Malaysia.

Apakah pula hubungan bahasa dengan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK)? Bahasa merupakan alat untuk berhubung antara anggota masyarakat. Komunikasi ini dilakukan secara meluas, baik secara rasmi atau tidak rasmi. Masyarakat pada hari ini perlu menerima hakikat bahawa perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) berkait secara langsung dengan kemampuan menjana idea, kreativiti dan inovasi bagi memantapkan penggunaan Bahasa Melayu. Strategi yang perlu dirancang ialah memperkukuhkan kekuatan bahasa secara dalaman yang telah terbina sekian lama. Masyarakat pengguna Bahasa Melayu perlu bersikap terbuka dan bersedia menerima cabaran perkembangan dunia teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) yang dipengaruhi oleh bahasa asing, iaitu Bahasa Inggeris. Usaha untuk membentuk peristilahan Bahasa Melayu dalam bidang ini perlu lebih progresif dan terbuka dengan menerima penyerapan masuk kata-kata asing bagi pengayaan perbendaharaan kata Bahasa Melayu. Sejarah telah membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah menempuh beberapa zaman yang mencabar dengan kedatangan unsur asing ke alam Melayu misalnya kedatangan Portugis, Belanda dan Inggeris. Evolusi Bahasa Melayu turut berlaku secara perlahan-lahan. Perkembangan pesat dalam teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) telah mencorakkan bentuk masyarakat, struktur ekonominya dan persaingan sengit dalam pasaran antarabangsa. Kewujudan bahasa amat penting dalam konteks ini kerana bahasa merupakan sumber komunikasi yang penting. Bahasa Melayu perlu kukuh dan mantap untuk membolehkannya memperkatakan apa sahaja bidang yang begitu cepat muncul dan berkembang dalam kehidupan manusia.

Masyarakat berbahasa Melayu perlu mencari kaedah untuk membolehkan Bahasa Melayu mempunyai nilai tambah dalam masyarakat yang kelihatannya jelas sekali mementingkan Bahasa Inggeris. Perkembangan era globalisasi memberikan cabaran baru kepada Bahasa
Melayu. Perkembangan pesat dalam teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) melahirkan unsur baru yang dikenali sebagai bahasa rojak. Bahasa rojak semakin berkembang luas dalam kalangan pengguna bahasa. Ini dicirikan dengan penggunaan Bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan Bahasa Inggeris. Kelahiran K-Ekonomi pula telah membawa perubahan besar kepada semua bentuk perlakuan dan pemikiran manusia. Penggunaan Bahasa Melayu dalam internet juga perlu dipertingkatkan agar seiring dengan penggunaan bahasa-bahasa utama lain di dunia. Penggunaan Bahasa Melayu dalam ruang siber ini menyebabkan berlakunya perubahan yang ketara khususnya ruang sembang siber yang memperlihatkan unsur bahasa yang unik dan tersendiri yakni Bahasa Melayu internet. Muncul perkataan seperti kang (nanti), a’kum (assalamualaikum), tipon (telefon), persal (mengapa), nko (engkau) dan lain-lain. Fenomena ini merupakan unsur perubahan yang dikhuatiri akan mencemarkan nilai-nilai asli dalam Bahasa Melayu. Ayat-ayat yang terbentuk juga tidak mematuhi hukum tatabahasa Bahasa Melayu dan kelihatan janggal. Inilah yang perlu disedari oleh pengguna internet yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai wadah komunikasi agar tidak menggunakan Bahasa Melayu sesuka hati tanpa mengambil kira soal peraturan yang sedia ada.
Keupayaan Bahasa Melayu bertahan dalam era siber banyak bergantung kepada keupayaan masyarakat penutur Bahasa Melayu itu sendiri menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku. Sikap masyarakat terhadap Bahasa Melayu telah menyebabkan kesukaran untuk meletakkan Bahasa Melayu di persada antarabangsa. Ketidakyakinan terhadap bahasa ibunda berkembang menjadi bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa dalam kalangan penutur Bahasa Melayu mengakibatkan Bahasa Melayu terus tercicir dalam persaingan dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Penutur Bahasa Melayu lebih senang menggunakan Bahasa Inggeris atau bahasa rojak yang kini semakin menjadi ancaman terhadap kemurnian Bahasa Melayu. Mereka menganggap Bahasa Melayu tidak setanding dengan Bahasa Inggeris dan akhirnya mula meminggirkan Bahasa Melayu secara perlahan-lahan. Bahasa rojak dikatakan lebih santai dan tidak begitu formal, sama seperti penggunaan Bahasa Melayu pasar. Justeru, penekanan terhadap penggunaan Bahasa Melayu yang betul harus diutamakan khususnya dalam laman sesewang yang dikendalikan oleh anak Malaysia, walaupun menggunakan dwibahasa. Amalan berbahasa yang baik dan betul perlu dipupuk dan dibajai daripada peringkat sekolah lagi dan secara menyeluruh mencapai segenap anggota masyarakat. Hanya dengan cara ini sahajalah, Bahasa Melayu akan mendapat tempat yang sewajarnya dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).

Kita menerima hakikat bahawa bidang teknologi maklumat dan komunikasi merupakan ilmu yang datang dari luar. Konsep yang didukung oleh bidang ini tidak ditemui dalam dunia Melayu. Namun begitu, ini tidak bermakna kita harus berkiblatkan Barat dalam menghasilkan istilah bidang ini. Bahasa Inggeris bukanlah satu-satunya bahasa bagi dunia siber, malah kini kita dapati bahasa Arab dan Bahasa Mandarin mulai mendapat tempat dalam kalangan pengguna internet. Bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang cukup besar di dunia. Bak kata perumpamaan Melayu, “hendak seribu daya, tidak hendak seribu helah”. Laman sesawang yang dibina oleh badan kerajaan dan badan bukan kerajaan hendaklah menggunakan Bahasa Melayu atau dwibahasa agar maklumat tersebar dalam Bahasa Melayu selain daripada Bahasa Inggeris. Sokongan yang berterusan daripada semua pihak amatlah diperlukan bagi memastikan penggunaan Bahasa Melayu berterusan, di samping pembinaan pangkalan data yang bersesuaian bagi pengembangan Bahasa Melayu. Dengan cara ini, bahasa ini mudah dicapai oleh pusat-pusat Pengajian Melayu di luar negara yang menggunakan Bahasa Melayu.

Latihan
Bincangkan langkah-langkah yang perlu dilakukan dalam usaha untuk memantapkan penggunaan Bahasa Melayu dalam teknologi maklumat dan komunikasi.

httpfiles.orazza.webnode.com.200000001.edu27ed875 Nota kuliah.pdf